Jauhilah Arak! : Ummu al-Khaba’its (Ibu Segala Kejahatan)

 (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

ISLAM diturunkan kepada manusia sebagai pembimbing ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat dengan memandu manusia ke arah segala bentuk kebaikan dan menyelamatkan mereka daripada segala bentuk kejahatan. Bagi memastikan kehidupan manusia sentiasa terjaga dan terarah, syariat Islam telah mengasaskan enam sendi sebagai dasar bagi memelihara maslahat dan menolak bencana. Sendi-sendi tersebut ialah : Memelihara ugama, memelihara nyawa atau jiwa, memelihara akal, memelihara nasab, memelihara nama baik dan memelihara harta.
Segala perkara yang merosak atau memusnahkan walau satu sahaja daripada sendi-sendi berkenaan adalah ditolak dan diharamkan oleh Islam. Salah satu perkara yang diharamkan atas asas tersebut ialah meminum arak.
Perbuatan meminum arak bukan sahaja merosakkan sebahagian daripada sendi-sendi yang enam itu, bahkan ia memusnahkan kesemua sendi-sendi tersebut. Ini berpunca dari hilangnya akal serta pertimbangan akibat daripada meminum arak. Apabila sudah dalam pengaruh arak, kesucian agama akan dinodai, nasab keturunan akan tercemar, harta benda akan rosak, dan nama baik, maruah serta nyawa akan tergadai dan terancam. Ini belum termasuk lagi segala penyakit-penyakit kronik dan merbahaya yang cukup sinonim dengan  peminum arak seperti penyakit jantung,kanser dan sebagainya.

Hukum Arak Dan Meminum Arak
Tidak ada khilaf antara ulama bahawa meminum arak itu hukumnya haram dan merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Pengharaman arak adalah sesuatu yang diketahui umum (Ma'lum min ad-din bi adh-dharurah) dan ianya sabit berdasarkan al-Qur'an, Sunnah dan ijma'.
Firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Ma'idah ayat 90 dan 91:

Tafsirnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji dari perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan) (90).
Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab (meminum) arak dan (bermain) judi dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti (daripada melakukan perbuatan keji itu)? (91)". (Surah al-Ma'idah: 90-91)

Imam Abu Bakar ar-Razi Rahimahullah berkata dalam Ahkam al-Qur'an bahawa pengharaman arak itu difahami atau diistinbat melalui ayat di atas tadi atas dasar-dasar berikut:
1. Gelaran (keji) ke atasnya yang menyerupai gelaran (keji) pada daging babi.
2. Ia perbuatan syaitan. Maka apa sahaja yang tergolong dalam perbuatan syaitan adalah diharamkan.
3. Perintah wajib untuk menjauhinya. Maka segala apa yang wajib dijauhi adalah haram dilakukan.
4. Kejayaan yang dijanjikan apabila melaksanakan perintah menjauhi arak.
5. Meminum arak mencetuskan permusuhan dan kebencian antara kaum muslimin.
6. Ia menjauhkan dan menghalang daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta'ala dan ibadat sambahyang.

Dalil pengharaman arak daripada Sunnah pula antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: "Tiap-tiap minuman yang memabukkan, maka ia adalah haram".
(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Dalam Shahih Muslim pula, Ibnu Umar Radhiallahu 'anhuma meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: "Setiap yang memabukkan itu khamar, dan setiap yang memabukkan itu haram".
(Hadits riwayat Imam Muslim)

Hadits di atas menjelaskan kepada kita bahawa istilah 'khamar' itu merangkumi segala jenis minuman yang memabukkan. Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj menyatakan bahawa setiap cecair yang memabukkan itu termasuklah jenis khamar dan segala jenisnya sama ada yang diperbuat daripada anggur atau nabiz yang diperbuat selain daripada anggur.
Jadi apapun nama, jenis atau gelaran yang diberikan kepadanya, beerkah, vodkakah, whiskykah, champagnekah, brandykah, atau apa-apa sahaja pun, selama mana ianya adalah jenis minuman yang memabukkan, maka hukumnya adalah haram.
Orang yang meminum arak dihukumkan fasiq dan dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala serta Rasul-Nya. Sehinggakan Abdullah bin 'Amr Radhiallahu 'anhuma melarang daripada memberi salam ke atas peminum arak.

Adapun jika dia mengingkari keharaman arak dan mengatakan bahawa meminum segala minuman yang memabukkan itu adalah halal dan tidak haram, maka dia dihukumkan sebagai murtad dan terkeluar daripada ugama Islam. Ini kerana dengan keingkarannya itu dia telah menolak dan mendustakan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan RasulNya Shallallahu 'alaihi wasallam.
Selain haram, ia juga dihukumkan najis dalam kategori najis mutawassithah (pertengahan) yang perlu dibersihkan tempat yang terkena arak itu dengan membersihkannya sehingga hilang bau, rasa dan warnanya.
Meminum arak merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Bukan sahaja ia satu dosa besar, malah ia turut digelarkan sebagai ummu al-khaba'its yakni ibu atau paksi segala kejahatan. Ia digelarkan dengan gelaran yang sedemikian kerana segala bentuk kejahatan dan keburukan terhimpun di dalamnya dengan sebab tertutupnya akal dan fikiran siapa sahaja yang meminumnya. Ini satu gelaran yang sangat tepat untuk dinisbahkan kepada arak kerana bencana pasti akan melanda peminumnya dalam kehidupan dunia dan akhirat sekiranya dia tidak bertaubat.
Celaan Dan Janji Buruk Kepada Peminum Arak
Meminum arak satu perbuatan terkutuk yang dipandang keji oleh syara'. Banyak nas-nas syara' yang mengeji dan mencela perbuatan meminum arak dengan berbagai celaan dan janji-janji buruk yang dahsyat lagi menggerunkan. 

Antaranya:

1. Ia salah satu dosa-dosa besar. Bahkan beberapa orang sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam seperti Abdullah bin Umar dan Abdullah bin 'Abbas Radhiallahu 'anhum berpendapat bahawa minum arak itu bukan sahaja salah satu daripada dosa-dosa besar, malah beliau mengganggap bahawa ia merupakan dosa besar yang paling besar.

2. Meminum arak diumpamakan seperti melakukan syirik. Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'anhuma menceritakan bahawasanya apabila disyariatkan pengharaman arak, para sahabat pun berkata: "Telah diharamkan arak, dan dijadikan (perlakuan minum arak itu) sama seperti perlakuan syirik (menyekutukan Allah)".

3. Kekal dalam neraka dan tidak akan masuk ke dalam syurga selama-lamanya.
Imam al-Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumullah meriwayatkan dalam Shahih mereka bahawasanya Ibnu 'Umar Radhiallahu 'anhuma telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: "Barangsiapa yang minum khamar di dunia lalu dia tidak bertaubat daripadanya, diharamkan (ke atasnya meminum) khamar pada hari akhirat." (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Khamar di akhirat bukanlah sepertimana khamar di dunia yang bersifat jijik, kotor, menghilangkan akal serta merbahaya. Adapun sifat khamar minuman ahli syurga itu ada disebutkan dalam al-Qur'an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah ash-Shaaffaat ayat 46 dan 47, firman-Nya:
Tafsirnya: "(Warnanya) putih bersih lagi lazat rasanya bagi orang-orang yang meminumnya (46) Tidak ada di dalamnya (unsur) yang memabukkan dan mereka tidak mabuk kerananya (47)." (Surah ash-Shaaffaat: 46, 47)
Menurut Imam al-Khaththabi Rahimahullah, maksud diharamkan ke atas peminum arak yang tidak bertaubat daripada meminum khamar di hari akhirat itu ialah dia tidak akan masuk syurga kerana khamar itu adalah minuman ahli syurga. Maka apabila minuman ahli syurga itu diharamkan ke atasnya, ini membawa maksud bahawa dia tidak akan memasuki syurga.
Imam Ibnu Abdilbarr Rahimahullah berkata: "Ini janji buruk yang menunjukkan pengharaman untuk memasuki syurga (bagi peminum arak yang tidak bertaubat)".
Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani Rahimahullah pula berkata: "Janji buruk ini merangkumi semua peminum arak walaupun dia tidak mabuk (setelah meminumnya)".
Ini adalah selama mana Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak memaafkannya dan tidak mengurniakan pengampunan ke atas nya.Sambungan dari Minggu lepas

4. Keimanan serta kedudukannya sebagai seorang mukmin dipertikai dan tidak diperakui.
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “… Dan seseorang itu tidak minum arak, ketika dia sedang minum itu dia adalah seorang mukmin…”. (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Ulama membuat beberapa penafsiran mengenai penafian iman terhadap peminum arak dalam hadits ini. Sebilangan ulama berpendapat bahawa ia membawa maksud perbuatan meminum arak itu menunjukkan dan mengakibatkan ketidaksempurnaan atau kurangnya iman. Manakala sebahagian ulama pula berpendapat bahawa meminum arak itumengakibatkan iman seseorang itu terhapus sama sekali.
Menurut Imam Ibnu Baththal Rahimahullah, ini adalah janji buruk yang paling dahsyat ditujukan kepada peminum arak.

5. Tidak diterima amalan sembahyangnya selama empat puluh hari.
Dalam Sunan Imam at-Tirmidzi dan Musnad Imam Ahmad, Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya : “Barangsiapa minum arak, Allah tidak menerima sembahyangnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari).Maka jika ia bertaubat, maka Allah akan terima taubatnya. Jika ia kembali (minum arak), maka Allah tidak menerima sembahyangnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari).Maka jika ia bertaubat, maka Allah terima taubatnya. Jika ia kembali (minum arak), maka Allah tidak menerima sembahyangnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari). Jika ia bertaubat, maka Allah terima taubatnya. Jika ia kembali (minum arak) untuk kali keempat, maka Allah tidak menerima sembahyangnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari). Jika ia bertaubat, maka Allah tidak akan menerima taubatnya dan Allah beri ia minum dari sungai Khabal.” (Hadits riwayat Imam at-Tirmidzi dan Imam Ahmad)

6. Dijanjikan neraka dan akan diberi minum daripada sungai Khabal. Ini sekiranya dia mati dalam keadaan tidak bertaubat atau pintu taubat tidak lagi dibukakan ke atas dirinya sepertimana yang disebutkan dalam hadits di atas.
Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma yang meriwayatkan hadits di atas pernah ditanyakantentang sungai Khabal ini, lalu beliau pun menjawab: “Sungai dari nanah penduduk ahli neraka”.

7. Mendapat laknat. Bahkan janji laknat itu bukan sahaja ditujukan kepada peminum arak semata-mata, bahkan ia juga ditujukan kepada semua yang terlibat dan bersubahat dengansegala perkara yang melibatkan arak.Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahketika mengulas tentang riwayat hadits-hadits yang menjanjikan laknat dalam perkara arak ini berkata, bahawasanya laknat dalam riwayat hadits-hadits berkenaan ditujukan kepada dua belas golongan:

1. Orang yang meminum arak.
2. Orang yang memerah arak.
3. Orang yang minta diperahkan arak.
4. Orang yang membawa arak.
5. Orang yang minta dibawakan arak.
6. Orang yang memberi minum arak.
7. Orang yang minta diminumkan arak.
8. Orang yang menjual arak.
9. Orang yang membeli arak.
10. Orang yang minta dibeli dan minta dijualkan arak.
11. Orang yang memakan harga arak.
12. Orang yang menyimpan dan memiliki arak.

Pendek kata, semua yang terlibat dalam perkara maksiat arak ini dijanjikan laknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta Rasul-Nya. Apakah dia laknat itu? Laknat menurut ulama ialah terhalau dan jauh daripada rahmat, simpatidan belas kasihan Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta dikutuk oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta RasulNya. Apabila sudah terhalau dan jauh daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka segala keberkatan akan ditarik daripadanya, segala doa akan tertolak, segala amal ibadat tidak dipandang dan Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak memandang kepadanya dengan pandangan redha dan belas.

Hukum Meminum Arak Tanpa Mabuk
Menurut ulama, berdasarkan dalil-dalil, minuman arak atau yang seumpamanya yangjika diambil dengan banyak boleh memabukkan, maka meminum walaupun hanya setitik adalah juga haram.
Jabir bin ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhumeriwayatkan bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apa sahaja yang memabukkan(jika diminum) banyak, maka (meminum)sedikit (juga) adalah haram”.(Hadits riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmidzi,Ibnu majah dan Ahmad)Imam al-Adzrai‘e Rahimahullah berkata: “Ulama-ulama berkata bahawa minum satu titik arak itu adalah suatu dosa besar danmemang telah maklum bahawa satu titik itutiada memberi kesan (tidak menyebabkan mabuk)”.

Dengan hujjah-hujjah ini tertolaklah pendapat atau pandangan beberapa golongan yang berpendapat bahawa meminum arak itu tidak haram selama mana ia tidak memabukkan.
Minum Arak Merosak Hidup Serta Membahayakan Kesihatan Dan Nyawa
Peminum arak bukan sahaja mendapat nasib malang lagi menggerunkan di hari akhirat kelak,bahkan juga turut mendapat kesusahan dan bencana ketika di dunia.

Ini terbukti dengan jelas apabila perangkaan menunjukkan bahawa pengambilan alkohol ternyata merupakan antara dalang terbesar perosak kesejahteraan dan pembangunan individu serta sosial.
Menurut fakta dan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan alkohol mengakibatkan 2.5 juta kematian setiap tahun, yang mana 320,000 daripada jumlah tersebut merupakan mereka yang berusia dalam lingkungan umur 15 ke 29tahun. Alkohol juga merupakan antara faktor terbesar dan utama penyebab penyakit. Menurut kajian tersebut juga, alkohol dikaitkan dengan gejala-gejala sosial yang serius sepertikeganasan, pengabaian kanak-kanak sertapenderaan, selain menjejaskan pembangunan kerana ketidak hadiran ke tempat kerja.
Pengambilan arak pada hakikatnya bukan sahaja menjejaskan fizikal serta psikologipeminum, bahkan ia turut sama mendatangkankesusahan dan kerosakan terhadapkesejahteraan, keselamatan, kesihatan, malah nyawa orang lain.

Seorang yang di bawah pengaruh arak akan hilang akal serta daya pertimbangannya. Selain membahayakan diri, mereka juga bolehbertindak agresif dan membahayakan orang lain. Contohnya seorang pemandu yang sedang mabuk akan meletakkan pengguna jalan raya lain berada dalam risiko kemalangan.

Mereka ini bila-bila masa sahaja akan melakukan perkara-perkara yang tidak diingini seperti melakukan sesuatu yang tidak senonoh, melakukan kemudaratan terhadap diri sendiri, membunuh diri, bahkan melakukan jenayah seperti membunuh orang lain dan bertindak ganas terhadap sesiapa sahaja termasuklahrakan ataupun ahli keluarga sendiri.

Dari sudut kesihatan pula, kajian menunjukkan bahawa pengambilan arak menyebabkan sistem imuniti badan sipeminum menjadi lemah dan mudah ditimpa pelbagai penyakit. Antara penyakit yang sering dikaitkan dengan pengambilan arak ialah epilepsi (sawan), penyakit jantung, pelbagai jenis kanser, HIV atau AIDS, batuk kering, jangkitan kelamin, FAS (Fetal Alcohol Syndrom) iaitu gangguan terhadap kesihatan janin yang akan menyebabkan kerosakan dan keterbelakanganotak, mental, kesihatan dan tumbesaran bayiyang bakal lahir jika alkohol dikonsumsi oleh perempuan mengandung dan banyak lagi.

Hasil kesedaran tentang mudarat yang timbul daripada pengambilan arak inilah, pihak-pihaktertentu seperti kerajaan dan pertubuhanpertubuhankesihatan seluruh dunia,termasuklah pertubuhan yang dipelopori oleh golongan bukan Islam seperti WHO, mengambil langkah-langkah berpatutan dalam usaha mencari jalan penyelesaian bagimengurangkan risiko serta impak negatif pengambilan alkohol, yang jelas sekali tidak ada langsung impak positif terhadap peminum mahupun orang lain, demi menjagakesejahteraan setiap individu khususnya danmasyarakat amnya.

Bagaimanapun, Islam sudahpun mendahului dalam membenteras gejala arak ini dengan bertindak mengharamkannya sejak 14 abad yang lalu lagi. Pengharaman arak dalam syariat Islam bukan atas tujuan untuk mengurangkan impak negatifnya, bahkan bagi menolak segala kemudaratan dan risiko alkohol secara total. Sangat jelas pengharaman syara‘ terhadap arak ini, bahkan syariat Islam secara keseluruhannya, merupakan satu rahmat yang tidak ternilai bukan sahaja bagi seluruh manusia bahkan seluruh alam.

Membenteras Gejala Arak Tanggungjawab Setiap Muslim
Walaupun negara secara keseluruhannya berjaya mengawal gejala meminum arak di kalangan orang Islam di negara ini dengan penguatkuasaan beberapa undang-undang seperti pengharaman penjualan arak dan kesalahan memiliki arak bagi orang-orang Islam, namun masih terdapat segelintir individu yang masih lagi lalai dengan hasutan syaitan. Ini terbukti apabila statistik menyebutkan bahawa jumlah keseluruhan bagi kes tangkapan yang berkaitan dengan arak di Negara Brunei Darussalam dari tahun 2006 sehingga 2012 ialah sebanyak 1692 kes tangkapan, yang mana jumlah individu beragama Islam dalam angka tersebut ialah seramai 779 orang. Ini satu jumlah yang sangat merungsingkan.

Yang lebih dan paling merungsingkan ialah keterlibatan anak-anak muda remaja sertakanak-kanak dalam gejala arak ini yangrata-rata jatuh rebah akibat sikap ingin mencuba, hasutan rakan, pengaruh media massa serta kelalaian dan sikap ambil ringan akan perkara-perkara agama.
Di sinilah terserlahnya kepentingan dakwah amar ma‘ruf nahi munkar. Tanpa kesuburanbudaya amar ma‘ruf nahi munkar ini, tanggungjawab dakwah tidak akan dapatdirealisasikan.
Tanggungjawab dakwah sebenarnya bukan peranan golongan pendakwah, imam atau ulama sahaja, bahkan ia merupakan kewajiban setiapindividu, terutama sekali mereka yang diamanahkan sebagai penjaga dan pendidik seperti kaum ibu bapa dan para guru.Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam Surah at-Tahrim ayat 6:

Tafsirnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…”. (Surah at-Tahrim: 6)

Menurut ulama tafsir, memelihara keluarga daripada api neraka itu ialah dengan caramengajar dan mendidik mereka dengan perkara-perkara kebajikan serta menyuruhmelakukan apa yang diperintahkan danmenegah dari apa yang dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada kejahatan merupakan tanggungjawab dan kewajiban semua golongan kerana iamerupakan kaedah dakwah yang terbaik dan paling berkesan.
Menurut Imam Ahmad Rahimahullah, tidak menjalankan amar ma‘ruf nahi munkar itu bolehmengakibatkan kufur. Manakala sebahagian ulama pula berpendapat bahawa tidak menjalankan amar ma‘ruf nahi munkar itu akan mendatangkan dosa besar sekiranya perkara wajib yang ditinggalkan atau perkara haram yang dilakukan oleh sipelaku itu dari jenis dosa besar seperti meninggalkan sembahyang dan meminum arak, dan jika perkara itu dari jenis dosa kecil, maka tidak menjalankan amar ma‘ruf nahi munkar itu adalah dosa kecil.

Maksudnya di sini, jika seseorang itu tidak melarang seorang yang lain yang hendak melakukan satu dosa besar seperti minum arak, maka orang yang tidak melarang itu akan mendapat dosa besar kerana tidak menjalankan amar ma‘ruf nahi munkar. Adapun jikaseseorang itu tidak melarang seorang yang lainyang hendak melakukan satu dosa kecil, maka orang yang tidak melarang itu pun akan mendapat dosa kecil juga.

Para ibu bapa terutamanya, selain wajib melaksanakan amar ma‘ruf nahi munkar, seharusnya menunaikan peranan mereka sebagai qudwah dengan menunjukkan teladan yang baik dan bertindak sebagai pendidikterhadap anak-anak mereka dengan menerapkan penghayatan Islam ke dalam jiwa anak-anak mereka dari mereka kecil lagi supaya penghayatan Islam itu meresap sedalamdalamnya ke jiwamereka. Ini akan membuatkan mereka lebih hormat terhadap hukum-hakam Islam, lebih cenderung untuk mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan lebih merasai hikmah syari‘at agama-Nya.

Selepas ibu bapa, para guru juga memainkan peranan yang sangat penting dalam membimbing anak murid mereka. Ini keranaguru adalah umpama ibu bapa kedua kepada anak murid dan merupakan insan yang banyak bertanggungjawab membentuk dan menaikkan martabat anak murid mereka menjadi orang yang berilmu dan berguna kepada bangsa, agama dan negara. Jadi, bagi memastikan anak murid bebas daripada gejala negatif dan maksiat seperti arak ini, para guru bukan sahaja dituntut menjalankan peranan sebagai seorang pengajar, bahkan mereka juga wajiblah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pendidik yang berdedikasi. Ini dengan menjadikan diri mereka qudwah terbaik untuk anak murid, prihatin terhadap setiap tingkah laku mereka, menerapkan disiplin dan nilai-nilai murni kepada mereka serta tidak sekali-kali berputus asa berusaha memimpin mereka supaya menjadi seorang muslim yang berakhlak, bertaqwa dan sentiasa mematuhi perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta Rasul-Nya. Inilah guru pewaris para Nabi yang sebenarbenarnya.
Para ilmuan Islam daripada golongan imam, pendakwah dan sebagainya pula hendaklah berusaha lebih keras lagi bagi memperkukuhkan pengetahuan, kefahaman serta kesedaran seluruh umat Islam tentang persepsi serta hukum Islam mengenai arak serta akibat-akibat buruknya di dunia dan di akhirat melalui ceramah, kuliah, penulisan dan penyebaran risalah, buku dan sebagainya. Bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan usaha ini, hendaklah dipastikan bahawa usaha dakwah mereka itu sampai ke segenap lapisan masyarakat Islam, bukan hanya sekadar di masjid-masjid ataupun di surau-surau sahaja.

Peranan sektor-sektor kesihatan juga tidak kurang pentingnya dalam usaha membenteras gejala arak. Ini dengan menyampaikanmaklumat dan menerapkan kesedaranmasyarakat akan bahaya arak. Selain mempergiatkan lagi ceramah mengenai bahaya arak terhadap kesihatan dan kehidupan, pengetahuan serta kefahaman awam tentang bahaya arak ini juga perlu diperkembangkan dengan lebih jitu lagi melalui media massa.

Jika semua pihak serta individu muslim berkerjasama menjalankan peranan masingmasingdalam perjuangan membenteras gejala arak ini, ditambah lagi dengan berkuatkuasanya Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dengan izin-Nya, Negara Brunei Darussalam akan menjadi sebuah negara yang bebas arak. Apabila negara bebas daripada arak, rahmat dan keberkatan kurniaan Subhanahu wa Ta‘ala akan lebih mencurah-curah terhadap negara serta segenap penduduknya.

WALLAHU'ALAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan