KEAJAIBAN AL QURAN
Pengenalan
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya
(tentang datangnya dari
Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk
bagi orang-orang yang
(hendak) bertakwa”. (Al Baqarah 2)
Al Quran merupakan kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah
kepada rasulNya yang mulia
Muhammad s.a.w lebih empat belas abad yang lalu. Ia
diturunkan secara berperingkat-peringkat memakan masa lebih dua puluh tahun.
Ayat-ayatnya terbahagi kepada dua zaman iaitu makiyyah dan
madaniyyah sesuai dengan keadaan zaman dan penerimaan
para sahabat r.a. Ia tidak berubah dan
tidak dapat ditandingi sehingga akhir zaman. Al Quran
merupakan mukjizat yang teragung untuk
dipelajari, dijadikan panduan dan diamalkan oleh seluruh
umat manusia sepanjang zaman. Mukjizat yang diberikan kepada rasulrasul lain
lebih berupa keajaiban yang dapat dilihat dengan mata, dipegang dengan tangan
dan dirasa dengan lidah. Nabi Musa a.s sebagai contohnya diberikan keupayaan
oleh Allah untuk menukar tongkatnya menjadi seokor ular yang besar yang
mengalahkan semua ular ahli-ahli
sihir. Apabila kaumnya kelaparan, Nabi Musa a.s. dapat
memberikan makanan melalui hidangan daripada langit. Apabila dikejar Firaun,
Nabi musa boleh menggunakan tongkatnya untuk membelah Laut Merah. Nabi Isa a.s
pula berupaya mengubat penyakitpenyakit yang ganjil, yang tidak dapat diubat
oleh orang biasa. termasuk menghidupkan orang mati. Semua mukjizat ini dapat diakui oleh seorang
yang tidak berpelajaran sekalipun sesuai dengan umat pada masa tersebut.
Berbanding dengan mukjizat rasul terdahulu, al Quran
dapat dirasai keajaibannya oleh orang yang
berilmu dan menggunakan akal fikirannya. Al Quran lebih
mencabar kepada minda dan pemikiran
manusia. Dari semua sudut, al Quran lebih tinggi daripada
apa yang boleh dibayangkan oleh manusia.
Dari sudut sastera, al Quran lebih hebat daripada semua
sajak dan syair yang ada. Dari sudut sejarah, al
Quran membukti ketepatan sejarah yang sangat jitu. Dari
sudut ramalan masa depan, al Quran dibukti
tepat dengan beberapa peristiwa yang berlaku sesudah
wahyu diturunkan kepada Muhammad s.a.w. Dari sudut sains pula, al Quran sangat
agung yang dibuktikan tepat setelah berabad-abad ia diturunkan.
Perkara ini sangat mustahil dapat diterangkan oleh
seorang yang tidak tahu membaca dan menulis seperti Muhammad s.a.w. sekiranya
beliau tidak mendapat petunjuk wahyu daripada Allah s.w.t.
Kita dapat melihat salah satu keajaiban al Quran adalah
tentang proses penciptaan manusia yang
dibuktikan betul oleh sains moden setelah empat belas
kurun ia diturunkan.
Keajaiban Penciptaaan Manusia menurut al Quran Manusia
dicipta bermula daripada persenyawaan setitis air mani yang mengandungi sperma
di dalamnya. Ini disebut di dalam al Quran:
“Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia
bermulanya dari air mani yang bercampur, serta Kami tetap mengujinya (dengan
kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan
melihat.” (Al Insaan 2)
Banyak lagi ayat-ayat lain yang menceritakan tentang
penciptaan manusia bermula daripada
persenyawaan sperma dalam air mani ini. Ayat ini juga
meletakkan pendengaran lebih dahulu daripda
penglihatan. Ini sesuai dengan hakikat penciptaan manusia
yang mana mereka boleh mendengar sejak
dalam rahim lagi tetapi boleh melihat hanya selepas
dilahirkan. Dalam al Quran juga, secara jelas
menceritakan bahawa bukan semua air mani yang digunakan
untuk menjadikan manusia tetapi sebaliknya
hanya sebagainya sahaja. Firman Allah:
“Bukankah dia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke
dalam rahim)?” (Al Qiyamah 37)
Perkataan yang digunakan oleh Allah dalam ayat ini adalah
“nutfatam min maniiyin yumna” yang
bermaksud sebahagian daripada air mani yang dipancarkan.
Di dalam surah al Sajdah ayat 8, Allah menggunakan perkataan “sulalah” yang
bermaksud saripati, iaitu bahagian yang paling baik dalam satu-satu campuran. Air mani tersebut tidak boleh berkembang dengan
sendiri menjadi manusia seperti yang dipercayai oleh orang terdahulu semasa Al
Quran diturunkan. Tetapi sebaliknya air mani itu mesti bercantum dengan telur
daripada kaum hawa untuk menjadi manusia. Firman Allah:
“Dia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam
rahim); Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang
dada" perempuan.” (At-Thariq 6-7)
Sulbi dan taraib dalam ayat ini dijelaskan oleh Dr Zakir
Abdul Karim Naik sebagai tempat di mana
keluarnya salur darah yang membekalkan darah kepada
testis (kilang sperma) dan ovari (kilang telur)
terletak antara tulang sulbi dan tulang dada1. Iaitu
saluran darah testicular artery dan ovary artery bermula dari satu tempat
antara tulang sulbi dan tulang dada. Ini dibuktikan benar oleh sains moden
bahawa saluran darah ke testis dan ovari berasal daripada abdominal aorta dan
renal artery bukannya berasal dari salur darah setempat. Jantina bagi manusia
ditentukan oleh sperma daripada bapa bukannya telur daripada ibu. Ini dijelaskan
oleh Allah dalam ayatnya:
“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan
pasangan lelaki dan perempuan. Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke
dalam rahim)” (An Najm 45-46)
Dalam ayat lain Allah menyebut:
“Bukankah dia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke
dalam rahim)? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu
Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? Lalu
Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan” (Al Qiyamah 37-39)
Perkara ini dibuktikan tepat oleh sains moden iaitu
jantina manusia ditentukan oleh sperma yang mempunyai genetik XY bukannya telur
yang hanya mempunyai sejenis genetik XX sahaja. Perkembangan manusia di dalam
rahim disebut secara jelas di dalam Al Quran sebanyak tiga peringkat. Firman
Allah:
“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku
darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian
Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut
tulang-tulang itu dengan daging. Setelah
sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya.
Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (Al
Mu’minun 14)
Peringkat-peringkat ini di dalam istilah Al Qurannya
disebut sebagai “alaqah”, “mudghah” dan “Nasy-ah”. Alaqah sering disebut oleh
orang arab sebagai benda yang bergantung seumpama lintah2. Ini jelas menggambar-kan
peringat zygote iaitu peringkat pertama setelah hasil persenyawaan melekat di dinding
rahim. Mudghah pula adalah seumpama daging atau chewing gum yang dikunyah. Ia
biasanya akan meninggalkan kesan gigi pada bahan yang dikunyah tersebut.
Peringkat mudghah ini dikenali dalam istilah anatomi sebagai peringkat embryo
berlaku daripada minggu ke lima hingga ke lapan kandungan. Bentuk seperti
gigitan itu adalah peringkat pembentukan tulang belakang primitive yang
dikenali sebagai somite. Di akhir
peringkat mudhgah terdapat peringkat pembentukan organ disebut di dalam al
Quran sebagai ‘idzama. Pembentukan organ ini berlaku dengan pembentukan daging
kemudian pembentukan tulang dan kemudiannya otot-otot membaluti tulang tersebut
pula. Bermula dari akhir minggu ke lapan, embryo ini menjadi seolah-olah
makhluk lain. Peringkat ini disebut dalam al Quran sebagai nasy-ah. Peringkat
ini hampir semua organ telah terbentuk dan mula berfungsi. Perkara ini
dibuktikan tepat setelah teknologi mikroskop dan endoskop berkembang dalam abad
ke 20. Mustahil seorang yang tidak tahu membaca dan menulis seperti Rasulullah
s.a.w. dapat menerangkan perkembangan dengan peringkat-peringkat yang
terperinci sebegini. Apa yang menariknya, ayat tentang penciptaan manusia di
dalam Al Quran disudahi dengan konsep ketuhanan yang agung iaitu Allah
sebaik-baik pencipta. Di dalam ayat lain, Allah mencabar manusia:
“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak
(ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka
(perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah
menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari
sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya
dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami
hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami) dan Kami pula menetapkan dalam
kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke
suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa
kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa
dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau
semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk
sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu
dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian
apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan
tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh) dan gembur membusutlah ia, serta ia pula
menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.” (Al Haj 5)
Harun Yahya dalam bukunya The Miracle of Human Creation3
menekankan bahawa tidak ada sebarang syak bahawa Allah yang mengawal setiap
peringkat perkembangan manusia dalam kandungan ibu, yang menentukan kelahiran
manusia di alam ini dan yang menentukan saat kematian manusia. Jadi sudah
semestinya manusia tunduk dan patuh kepada Allah selaku penciptanya dan
penjaganya itu.
Penutup
Sudah jelas bahawa keajaiban penciptaan manusia atau
keajaiban lain yang ditunjukkan oleh al
Quran bukanlah untuk dikagumi sahaja oleh manusia. Ianya
adalah untuk dijadikan petunjuk bagi
manusia dan seterusnya meyakini bahawa al Quran
benar-benar datang daripada Allah. Manusia patut
menginsafi kelemahan diri sendiri dan seterusnya menuruti
sebarang perintah Allah tanpa sebarang
persoalan.
Firman Allah:
“Mengapa kamu sanggup engkar kepada Allah, padahal kamu
dahulunya tiada, lalu Allah
menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya
kembali, kemudian kepada-
Nya-lah kamu dikembalikan?” (Al Baqarah 28)
Rujukan:
1. Zakir Abdul Karim Naik. Quran and Modern Science:
Compatible or Incompatible. Saba Islamic
Media Kuala Lumpur Malaysia (2004)
2. Harun Yahya. Miracle of the Quran. Al-Attique
Publishers Inc. Canada (2001)
3. Harun Yahya. The Miracle of Human Creation Goodword
Books New Delhi, India (2003)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan