Jumaat, 18 Disember 2015

Khutbah Jumaat..

Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Saleha Kg Madang


Dari Abu Said Al Khudri dan Abu Hurairah Radiallahuanhuma, Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, lalu dia memakai yang terbaik daripada pakaian-pakaiannya dan memakai wangian (haruman), sekiranya dia ada, setelah itu dia pergi ketempat menunaikan fardu Jumaat tanpa melangkahi kepada orang lain, lalu mengerjakan mana-mana sembahyang sunat yang dikehendakinya, kemudian dia berdiam diri sebaik sahaja imam muncul untuk menyempurnakan khutbah sehinggalah dia selesai daripada sembahyangnya, maka kesemua yang dilakukannya ini menjadi penghabisan dosanya yang berlaku antara Jumaat tersebut dan Jumaat yang sebelumnya.
(Riwayat Al Imam Abu Daud)


Adab berpakaian ke masjid

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di Akhirat.
Pakaian adalah untuk menutup badan dan anggota, dan menurut Islam pakaian itu mestilah yang menutup aurat. Islam mengangap pakaian adalah simbol indentiti, jati diri, kehormatan dan kesederhanaan seseorang yang dapat melindungi dari berbagai-bagai bahaya yang mungkin mengancam dirinya.
Walapun kewajipan utama berpakaian dalam Islam itu hanya untuk menutup aurat sahaja, namun banyak aspek perlu dititikberatkan kerana perkara berpakaian ini bukanlah suatu perkara yagn boleh diringakankan dan dianggap remeh. Antaranya dari aspek berhias, kebersihan, kecantikan, cara dan tempat dimana sesuatu pakaian itu hendak dipakai supaya bersesuaian dengan kehendak hukum dan kesopanan.
Apa yang pasti, dalam masyarakat kitani, memakai pakaian yang tidak bersesuaian dan tidak kena pada tempatnya merupakan satu kejanggalan. Hal ini ditegaskan oleh Al-Said Al Bakari Rahmatullah dengan katanya: bahawa keuzuran disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak itu boleh menjatuhkan maruah seseorang jika dibandingkan dengan lain-lain keuzuran.
Selaku orang melayu yang beragama Islam, kita orang-orang Melayu Brunei adalah terikat dengan hukum-hukum syarak dan adat budaya. Di samping berpakaian menutup aurat, cara berpakaian dengan sopan dan sesuai dengan majlis yang dihadiri juga telah lama disemai dan dipraktikkan. Apa yang pasti, orang Brunei memang mempunyai budaya berpakaian yang selari dengan kehendak hukum syarak. Pakaian kebangsaan Brunei iaitu pakaian cara Melayu sebenarnya menepati ciri-ciri menutup aurat dalam Islam, di samping mempunyai nilai seni tersendiri yang sopan lagi indah. Adalah lebih indah dan baik sekiranya pakaian cara Melayu Brunei yang lengkap ini dipakai untuk sembahyang fardu Jumaat. Selain pakaian cara Melayu, jubah atau gamis juga aalah pakaian yang sesuai untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat.
Penilaian berpakaian itu bukan hanya setakat menutup aurat. Akan tetapi kesesuaiannya meliputi keindahan dan perhiasan, sesuai dengan tuntutan syarak supaya berhias-hias setiap kali sembahyang termasuk ketika hendak menunaikan sembahyang fardu Jumaat.
Di negara kita Brunei Darussalam, pada suatu masa dahulu, khususnya apabila bercakap mengenai pakaian ketika bersembahyang fardu Jumaat, mempunyai identitinya yang tersendiri. Seseorang itu akan memakai pakaian cara Melayu yang lengkap dengan samping atau sinjang. Eloknya jika kita meneruskan identiti berpakaian sedemikian itu.
Walaupun berpakaian sedemikian bukan sebagai syarat sah aau tidaknya sesuatu sembahyang termasuk sembahyang fardu Jumaat, namun kita patut berfikir bahawa kita sebenarnya berada dalam suatu perhimpunan umat Islam maka patutlah kita berhias-hias dengan pakaian yang selayaknya, lebih-lebih lagi ketika menunaikan sembahyang.
Berhias ialah perkara yang disunatkan untuk dilakukan pada hari Jumaat bagi orang lelaki yang akan hadir ke masjid untuk berjemaah fardu Jumaat. Berhias itu ialah dengan memakai pakaian yang elok dan terbaik. Inilah yang dianjurkan dalam hadith Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
Dari Abu Said Al Khudri dan Abu Hurairah Radiallahuanhuma, Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, lalu dia memakai yang terbaik daripada pakaian-pakaiannya dan memakai wangian (haruman), sekiranya dia ada, setelah itu dia pergi ketempat menunaikan fardu Jumaat tanpa melangkahi kepada orang lain, lalu mengerjakan mana-mana sembahyang sunat yang dikehendakinya, kemudian dia berdiam diri sebaik sahaja imam muncul untuk menyempurnakan khutbah sehinggalah dia selesai daripada sembahyangnya, maka kesemua yang dilakukannya ini menjadi penghabisan dosanya yang berlaku antara Jumaat tersebut dan Jumaat yang sebelumnya.
(Riwayat Al Imam Abu Daud)
Adapun berpakaian yang elok dan sempurna itu bukan sahaja dituntut pada hari Jumaat, bahkan pada setiap kali kita menghadap Allah Subhanahu Wata’ala sebagaimana yang disebutkan dalam firmanNya dalam Surah Al A'raaf ayat 31:
Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang baik lagi sempurna setiap kali mengerjakan sembahyang dan tawaf.”
Manakala pakaian yang terbaik itu pula yang afdal dipakai ialah yang berwarna putih. Ini berdasarkan kepada beberapa hadith, antaranya:
Maksudnya: “Dari Aibni Abas Radiallahuanhuma, Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: pakailah daripada pakaian-pakaian kamu yang berwarna putih sesungguhnya pakaian putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu. Dan pakaikanlah padanya (kain putih) orang-rang yang meninggal dunia dari kalangan kamu.”
Jika tiada pakaian yang berwarna putih, maka yang hampir warnanya kepada putih.
Jika tiada juga, maka boleh memakai pakaian yang berwarna, menurut As-Said Al Bakri Rahmatullah, adapun yang lebih sempurna hendaklah kesemua bentuk atau jenis pakaian itu berwarna serba putih, termasuklah serban atau alas kepala. Bahkan afdal serban itu berwarna putih. Ini kerana jika dia tidak mendapati kesemua bentuk atau jenis pakaiannya itu serba putih, maka memadailah dia memakai warna putih itu pada sebelah atas.
Jika kemampuan untuk menyediakan pakaian yang khusus untuk digunakan pada hari Jumaat, maka adalah lebih elok. Perkara ini pernah disabdakan oleh Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith:
Maksudnya: “Dari Muhammad bin Yahya, Rasullullah Sallallahu AlaihiWasallam bersabda: tidak ada salahnya jika salah seorang daripada kamu, atau kamu sekaliannya, jika ada kemampuan utuk menyediakan dua pakaian khusus untuk dipakai pada hari Jumaat, iaitu sebagai tambahan selain daripada dua pakaian kerjanya yang sehari-hari.” (Riwayat Al Imam Abu Daud)
Ingatlah bahawa hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang terbesar disisi Allah Subahanahu Wata’ala. Maka adalah wajar sebagai tanda kita menghormati keadaan waktu kita berhadapan dengan Allah Subhanahu Wata’ala pada hari yang besar itu kita hendaklah dalam keadaan sempurna dengan pakaian yang elok dan tertib. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala suka kepada yang cantik, maka elokkanlah dan cantikkanlah diri agar kita menjadi orang yang disukai Allah Subhanahu Wata’ala.
Surah Al A'raaf ayat 31:

Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang baik lagi sempurna setiap kali mengerjakan sembahyang dan tawaf, serta makan dan minumlah dan janganlah berlebihlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”